MESEJ LAPUK YANG BERUSIA 2 1/2 TAHUN
Berderau darah bila dapat mesej “Saya nak bunuh diri!” dari senarai mesej yang ada, kerana apabila dilihat tarikh, mesej ini telah dihantar 2 1/2 tahun lepas.
Ya, sejak bulan July 2017 lagi beliau mesej saya. Tetapi baru dibaca malam kelmarin kerana mesej ni masuk ke spam box. Bila diperiksa spam box ni, rupanya ada beratus lagi mesej yang langsung saya tak baca sejak 2017.
Mesej ini dihantar oleh seorang ibu.
Kemurungan yang tak dirawat
Dari awal cerita, saya dapat agak ibu ni ada kemurungan yang tak dirawat. Dari ceritanya, beliau terpaksa berpantang sendirian dalam keadaan stress. Suami pula tak membantu langsung, malah terlibat pula dengan judi dan dadah.
Ibu ini kini terpaksa menanggung keluarga sendirian.
Saya kuatkan hati untuk balas mesej ibu ni. Alhamdulillah dia masih hidup. Tapi, keadaan beliau semakin teruk dengan beberapa siri kejadian serius sejak awal bulan Februari ni. Tapi satu perkara yang buatkan saya kagum sangat dengan ibu ini, tabahnya beliau!
Selama 2 1/2 tahun sejak mesej pertama dihantar, beliau masih mampu bertahan dengan rumahtangga dibina.
Mak-mak sekalian, rasa nak bunuh diri bukan main-main ya. Dan jika ada orang kata dia nak bunuh diri, percayalah, itu tanda kewarasannya makin hilang.
Tolonglah ambil serius setiap kata-katanya.
PERKARA YANG PERLU DILAKUKAN APABILA ADA SESEORANG YANG ANDA SAYANG MAHU BUNUH DIRI
Ini perkongsian dari Kevin Caruso, Founder & Executive Director kepada suicide.org. Saya dah terjemah dan olah sedikit kepada bahasa yang lebih santai.
Soalan pertama
Tanya dia, “Kau rasa teruk sangat ke sampai nak bunuh diri?”
Soalan kedua
Jika jawapan itu ya, tanya lagi “Kau dah fikir ke cara yang kau nak buat untuk ni?”
Soalan ketiga
Jika jawapan itu ya, tanya lagi “Kau dah ada ke barang yang diperlukan tu?”
Soalan keempat
Jika jawapan itu ya, tanya lagi “Bila kau nak buat?”
Cukup. Berhenti setakat soalan keempat. Tak perlulah kita tanya lebih-lebih, “Dah makan ke belum? Dah mandi ke belum? Nak buat live?”
ELAK CETUS MASALAH DAN IDEA LAIN UNTUK DIA
Pendek kata, inilah perkara yang perlu anda ambil perhatian. Sentiasa ambil serius. Jangan sesekali fikir orang itu hanya nakkan perhatian. Berapa ramai orang yang betul-betul bunuh diri kerana telah disalah anggap.
- Telefon polis atau apa-apa nombor kecemasan tanpa bertangguh jika nampak dia sudah nekad. Orang yang nekad ni, dari tingkahlakunya pun kita boleh agak langkah seterusnya yang dia akan buat. Ingat, jangan bertangguh!
- Jangan nampak terkejut. Kevin kata, biasanya orang yang mahu membunuh diri ni dah pun berada dalam keadaan tertekan, jadi bila dia nampak anda terkejut, ia hanya akan menambah tekanan sedia ada.
- Telefon polis atau 911. Jangan meleret-leret. Bagi maklumat straight to the point. Orang yang nak bunuh diri ni memang perlukan bantuan professional.
- Jangan berlagak pandai dan jangan cuba uruskan situasi tu bersendirian. Anda pernah murung, ya. Anda dah sembuh, bagus. Tapi jika anda bukan professional, mohon jangan cuba berlagak pandai kerana situasi dan cara atasi tak sama. Orang yang nak bunuh diri ni, perlukan bantuan professional, bukannya kaunselor tak berdaftar. KNOW YOUR LIMIT.
SEMENTARA MENUNGGU BANTUAN SAMPAI
- Jadi pendengar yang baik. Biarkan dia meluah sehabisnya tanpa perlu komen apa-apa. Dengar baik-baik dan fahami apa yang mencetus dia bertindak sedemikian.
- Berikan kata-kata semangat. Gunakan logik akal dan kata-kata yang baik bergantung pada situasi semasa. Ingat ya, kesakitan emosi tu sangat tinggi impaknya pada kewarasan akal dia berfikir, jadi berlemah lembutlah dengan dia. Jangan berkasar walaupun dia sangat emosi waktu itu.
- Pastikan dia tahu anda peduli. Pastikan dia tahu anda ambil berat. Orang yang nak bunuh diri sangat rapuh jiwa dia ketika itu, dan boleh bertindak tanpa amaran pun. Jadi, pastikan dia tahu masih ada yang sayang.
- Jika dia dalam keadaan berisiko tinggi untuk membunuh diri, mohon jangan tinggalkan dia berseorangan. “Not even a second,” kata Kevin sehinggalah bantuan tiba.
KESIMPULAN
“No matter what happens, or how bad it seems today, life does go on, and it will be better tomorrow.”
— Maya Angelou Tweet
Seperti yang saya katakan tadi, panduan Kevin telah saya olah sedikit untuk mudahkan anda memahami idea Kevin. Apa yang anda nak tanya, bergantung pada keadaan semasa. Tapi pastikan kata kuncinya sama, iaitu:
- Kenalpasti perasaannya ketika itu supaya kita tahu samada dia sudah nekad atau masih ragu-ragu
- Cara untuk bunuh diri
- Barang dah cukup atau belum
- Waktu dan lokasi yang mahu dibuat
Pesan Kevin lagi, kita perlu tahu sebanyak mungkin maklumat. Kerana itulah yang berada dalam fikiran orang yang nak bunuh diri. Lebih banyak rancangan bunuh diri, lebih tinggi risiko dia bertindak tanpa amaran. Jika dia dah ada cara dan waktu yang difikirkan, ketahulah, itulah tanda-tanda anda patut telefon talian kecemasan tanpa bertangguh!
Jika dia nak anda rahsiakan niat bunuh dirinya, pastikan, anda tidak simpan rahsia itu. Pastikan ada orang terdekat sudah tahu niat bunuh diri itu. Tiada keadaan pun yang membenarkan anda simpan rahsia apa-apa maklumat yang boleh menyebabkan seseorang itu mati. Tindakan ni adalah tanda anda peduli, sayang dan ambil berat.
Percaya tak, kes bunuh diri semakin banyak sejak akhir-akhir ni. Oleh itu, jadikan kisah-kisah yang anda baca sebagai pengajaran, dan lebih cakna.
Untuk anda yang sedang alami kemurungan, di bawah ini saya kongsikan nombor telefon NGO Befrienders.
“Sometimes even to live is an act of courage.”
— Lucius Annaeus Seneca Tweet
BEFRIENDERS (03-79568144 atau 03-79568145)
“Befrienders is a not-for-profit organisation which provides emotional support at any time to people who are lonely, distressed, in despair or having suicidal thoughts.”
Ketahuilah, ramai orang yang membunuh diri, sempat bergelak ketawa dan ucapkan kata-kata sayang dan penghargaan di pagi hari sebelum dijumpai mati petangnya.
Jaga diri. Hugs! ❤



